Jumat, 29 Juni 2012
MENYELAMI PERANG BADAR (Bag. 2)
PEMBERITAHUAN KEPADA PENDUDUK DI MAKKAH
Pengedalian kafilah Quraisy ini sebenarnya di bawah tanggungjawab Abu Sufian sepenuhnya, di mana beliau begitu berjaga dan amat berwaspada kerana beliau menyakini jalan ke Makkah itu amat merbahaya, oleh yang demikian beliau sentiasa menghantar pengintip-pengintip untuk memperolehi maklumat, selain dari itu beliau selalu bertanya setiap musafir atau tunggangan yang beliau temui di sepanjang perjalanannya itu.
Tidak berapa lama kemudian beliau memperolehi maklumat dari risikannya bahawa Muhammad s.a.w telah pun mengerah tenaga sahabatnya untuk menawan kafilahnya, dengan segera Abu Sufian mengupah Dhamdham bin Amru al-Ghifari ke Makkah, di sana Dhamdham melaung dan meminta bantuan kepada pihak Quraisy untuk menghantar gerakan penyelamat kafilah mereka buat menghalang Muhammad s.a.w dan sahabatnya daripada bertindak terhadap harta mereka itu begitulah tindakan Dhamdham kepada Quraisy dari atas belakang untanya, setelah memotong hidung untanya seterusnya beliau mengoyak bajunya untuk dikibar-kibarkan kepada Quraisy sambil berteriak: Kalian Quraisy, celaka dan celaka harta kamu bersama Abu Sufian itu, telah dihalang oleh Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya, aku tak nampak kamu berkesempatan dengannya, tolong tolonglah !!!
PENDUDUK MAKKAH BERSEDIA UNTUK BERPERANG
Semua orang di Makkah bersiap dan bergerak dengan pantas dan mereka berkata: Apakah Muhammad ingat kafilah kita itu seperti kafilah Ibnu al-Hadhrami? Dengan mudah boleh direbut dari tangan kita? Tidak!! Demi Allah biar dia tahu bukan semudah itu dia boleh bertindak. Pihak Quraisy bertindak samada keluar sendiri atau menghantar penggantinya, untuk keluar mereka telah mengerah tenaga habis-habisan, tidak seseorang pun dari pemuka mereka mengecualikan diri selain dari Abu Lahab, namun beliau tetap menghantar pengantinya yang telah berhutang dengannya. Selain dari itu, mereka juga mengerakkan kabilah-kabilah Arab di sekeliling Makkah, semua puak turut keluar kecuali Banu Adi sahaja, di mana tidak seorang pun dari mereka yang turut serta.
KEKUATAN TENTARA MAKKAH
Kekuatan tentera Makkah terdiri dari seribu tiga ratus (1,300) askar pada permulaan, dengan seratus ekor kuda, enam ratus perisai, manakala unta terlalu banyak bilangan yang tidak dapat dipastikan anggaran dengan terperinci. Pemimpin agung mereka ialah Abu Jahal bin Hisyam, makanan dibekal oleh sembilan orang kenamaan Quraisy, mereka menyembelih kadangkala sembilan atau sepuluh ekor unta sehari.
PERSOALAN KABILAH-KABILAH BANU BAKR
Semasa tentera Makkah mula bergerak, Quraisy teringat permusuhan dengan kabilah-kabilah Banu Bakr, mereka takut kabilah ini akan menikam mereka dari belakang, jadi mereka akan tersepit di antara dua musuh, hampir-hampir permasalahan ini melemah dan menggagalkan usaha mereka, tetapi iblis telah menjelma dalam rupa paras Suraqah bin Malik Ibnu Ja’syam al-Mudlaji, ketua Kabilah Banu Kinanah, dengan menyeru kepada mereka kalian: Aku adalah penjamin kepada kamu di mana Kinanah tidak akan menyerang dari belakang kamu, suatu hal yang kamu tidak senang dengannya.
TENTARA MAKKAH BERGERAK
Setelah itu mereka pun bergerak keluar dari Makkah, sebagaimana yang disifatkan oleh Allah yang bermaksud:
“Dengan penuh lagak sombong menunjuk-nunjuk kepada orang ramai, serta mereka menghalangi manusia dari jalan Allah. ”
(al-Anfal: 47)
Dan mereka mara ke hadapan sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah dengan hadis yang bermaksud:
“Mereka mencabar Allah dan RasulNya dengan segala tenaga dan kekuatan persenjataan mereka.”
Menepati firman Allah yang bermaksud:
“Dan bergeraklah mereka pada pagi itu, penuh kepercayaan yang mereka akan berkuasa, bagi menghalang kaum miskin”.
(al-Qalam: 25)
Langkah-langkah mereka penuh ta’sub, hasad dengki, dendam kesumat dan iri hati ke atas Rasulullah dan sahabat-sahabatnya, lantaran para sahabat ini berani mengancam kabilah mereka. Mereka bergerak secepat kilat ke arah utara menuju “Badar”, dengan melalui “Wadi Asafan”, ke Qadid kemudian ke Juhfah, di sana mereka telah menerima berita baru dari Abu Sufian yang menyebut: Sebenarnya kamu keluar ini untuk menyelamatkan kabilah kamu, orang-orang kamu dan harta kamu, tetapi kini kita telah diselamatkan Thhan jadi kalian bolehlah pulang.
KABILAH DAPAT MELEPASKAN DIRI
Kisah Abu Sufian dan Kabilah yang melalui jalan utara itu adalah amat berjaga-jaga dan waspada, beliau menambah lagi gerakan merisik, sebaik sahaja mereka menghampiri “Badar” beliau mara ke hadapan mendahului kabilah, di situ beliau menemui Majdi bin Amur, Abu Sufian bertanyakan beliau mengenai tentera al-Madinah, jawab Majdi: “Aku tidak melihat seorang pun dari mereka yang diragui, cuma tadi ada dua orang penunggang telah berhenti di bukit itu, setelah minum air bekalan, mereka pun beredar dari situ”, Abu Sufian pun segera ke tempat dua penunggang berehat tadi, beliau mengambil najis unta tunggangan dua orang penunggang yang singgah di situ, kemudian beliau memecahkan najis dan memeriksanya. Tiba-tiba beliau mendapati najis itu mengandungi bijian, maka kata beliau: “Demi Allah ini adalah makanan binatang dari Yathrib, segera beliau kembali ke kabilahnya, dengan itu beliau memalingkan pergerakan kabilahnya ke arah pantai sebelah barat, meninggalkan jalan utara ke Badar yang di sebelah kiri. Dengan itu kabilahnya terselamat dari terjatuh ke tangan tentera al-Madinah, sebab itulah maka beliau mengutus surat kepada angkatan tentera Makkah, yang mana mereka menerima suratnya itu semasa tentera Makkah telah berada di al-Juhfah.
TENTARA MAKKAH BERNIAT UNTUK BERPUTAR BALIK DAN KERETAKAN DALAM BARISAN KEPIMPINAN MAKKAH
Setelah tentera Makkah sedang berada di Juhfah menerima perutusan dari Abu Sufian, mereka pun bercadang untuk kembali semula ke Makkah, tetapi pemimpin taghut Quraisy Abu Jahal yang sombong, bongkak dan takbur bangun menyeru: “Demi Allah kita tidak akan pulang kecuali setelah kita sampai ke Badar, di sana kita akan berkhemah tiga malam, kita sembelih sembelihan, kita makan sepuas-puasnya, minum khamar, dan kita berhibur dengan artis-artis penyanyi, sehingga dengan itu kita akan di dengar oleh bangsa Arab tentang pergerakan dan perhimpunan kita, seterusnya mereka akan gerun dengan sikap kita itu untuk selama-lamanya”.
Bercanggah dengan Abu Jahal, al-Akhnas bin Syuraiq telah mengeluar pendapat dan bantahan untuk pulang ke Makkah, namun mereka tidak bersetuju dengannya, untuk demikian beliau menarik diri untuk pulang bersama-sama kabilahnya Banu Zuhrah, al-Akhnas merupakan sekutu Quraisy dan ketua Kabilah Banu Zuhrah di dalam gerakan ketenteraan ini, lantaran itu tiada seorang pun dari Banu Zuhrah yang menyertai peperangan Badar, kekuatan mereka lebih kurang tiga ratus (300) orang, Banu Zuhrah amat gembira dan berpuas hati dengan pendapat al-Akhnas bin Syuraiq itu, hingga dengannya beliau menjadi tokoh pemimpin pilihanny a yang didengari, ditaati dan dih’ormati.
Banu Hasyim pun hendak pulang juga, tetapi Abu Jahal berkeras dengan mereka, katanya: “Kamu tidak boleh bercerai dengan kami, ikut kami hingga kami pulang”. Dengan itu tentera Makkah pun rnara ke hadapan dengan kekuatan tentera seramai seribu orang askar, selepas penarikan diri oleh Banu Zuhrah, menuju Badar, angkatan Makkah bergerak hingga sampai hampir ke Badar, di sebalik guar (tanah tinggi) di lembah “al-Udwah al-Qaswa” bersempadan dengan lembah Badar.
PENDIRIAN TENTARA ISLAM YANG KRITIKAL
Risikan tentera Madinah melaporkan kepada Rasulullah s.a.w yang pada ketika itu masih lagi berada di “Wadi Zufran” mengenai kabilah dan angkatan tentera Makkah, hasil analisa dan perkiraan bahawa pasti sudah tidak dapat dielak lagi pertumpahan darah. Di dalam suasana ini sudah tidak dapat tidak, harus mara ke hadapan dan semestinya tidak boleh berundur, kemaraan harus pula didasarkan kepada keberanian, kecekalan, keperwiraan dan ketegasan, tidak syak lagi kalaulah dibiarkan tentera Makkah bermaharajalela di daerah ini, ianya akan menjadi alasan dan dorongan kepada Quraisy untuk terus berkuasa, malah akan merupakan penerusan kepada kuasa politiknya, di masa yang sama akan melemahkan kredebeliti umat Islam dan kuasanya, malah mungkin akan mengakibatkan gerakan Islam akan tinggal badan tanpa roh dan kekuatan, akan memberi laluan seluas-luasnya kepada segala jenis kejahatan dan hasad kesumat untuk berbuat apa sahaja terhadap Islam.
Selepas kesemuanya itu, siapakah yang akan menjamin keselamatan umat Islam, kiranya pihak Quraisy dan tentera Makkah mara ke Madinah siapa yang akan menghalangnya, pertempuran mungkin akan berpindah ke pintu masuk Madinah, kemudian mereka akan mara hingga ke tengah-tengah Madinah sendiri, tidak sama sekali, kalau diandaikan berlakunya ketewasan kepada tentera Madinah sudah pasti satu kesan buruk akan menimpa kehebatan kaum muslimin dan maruah mereka. (to be continue ...)
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar