Jumat, 29 Juni 2012
MENYELAMI PERANG BADAR (Bag. 3)
MAJLIS PERMESYUARATAN
Memandangkan kepada perkembangan mengejut dan berbahaya ini, maka Rasulullah s.a.w pun mengadakan permesyuaratan majlis tertinggi tentera, di mana Rasulullah melaporkan kedudukan terkini, di dalam sidang ini masing-masing mengemukakan pendapat dan pandangan, lapisan awam dan pemimpin tentera semua turut memberi sumbangan dan pendapat masing-masing, di saat ini terdapat sesetengah hati bergoncang dan ketakutan untuk menghadapi pertumpahan darah ini, mereka inilah yang disebut Allah di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Sebagaimana Tuhanmu mengeluarkan mu dari rumahmu dengan kebenaran jua, sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu tidak setuju. Mereka membantahmu tentang kebenaran berjihad setelah nyata, seolah-olah mereka dihalau kepada kematian yang sedang’mereka lihat”.
(al-Anfal: 5-6)
Bagi pihak pemimpin tentera, Abu Bakar al-Siddiq sendiri berucap dan menegaskan sesuatu yang amat baik, kemudian Umar bin al-Khattab pun berucap dan menegaskan segalanya adalah amat baik, disusuli dengan al-Miqdad bin Amru yang menegaskan: “Wahai Rasulullah teruskanlah sebagaimana yang Allah perlihatkan kepada tuan hamba, sesungguhnya kami tetap bersama-sama tuan, demi Allah kami tidak akan berkata kepada tuan, seperti Banu Israil berkata kepada Musa: “Pergilah dikau bersama Tuhan kau, dan berperanglah kamu berdua kami akan tunggu di sini”. Tetapi kami akan berkata: “Ayuh maralah dikau bersama Tuhan kau dan berperanglah, sesungguhnya kami bersama kamu untuk berperang, demi Dia Tuhan yang telah mengutuskan dikau dengan kebenaran, seandainya kau membawa kami ke “Birak al-Ghimad” nescaya kami bertempur bersama tuan tanpa menghiraukan apa pun, sehinggalah kita sampai ke sana”. Rasulullah membalas kepadanya dengan baik di samping berdoa untuk beliau.
Tiga tokoh tadi adalah dari pimpinan Muhajirin, mereka merupakan majoriti di dalam tentera Islam, seterusnya Rasulullah ingin mengetahui pendapat pemimpin Ansar pula, kerana mereka merupakan majoriti terbesar kekuatan tentera Islam, lagi pun kekuatan tempor terletak pada golongan Ansar, tambahan pula nas Baiah al-Aqabah tidak menuntut supaya mereka berperang di luar kampung halaman mereka, setelah mendengar ucapan tiga pemimpin tadi Baginda masih menyebut: Wahai kalian berilah pandangan kamu, lafaz Rasulullah itu dituju kepada al-Ansar, pemimpin al-Ansar dan pembawa panji, Sa’d bin Muaz segera menangkapi maksud Rasulullah itu dan terus beliau berkata: “Demi Allah, bagaikan tuan hamba memaksudkan kami”? Jawab Rasulullah: “Bahkan”.
Sa’d terus dengan ucapannya: “Sebenarnya kami telah pun beriman dengan dikau ya Rasulullah, kami membenarkan dikau, kami bersaksi bahawa apa yang kau bawa itu adalah benar, telahpun kami beri janji-janji dan kepercayaan kami untuk mendengar dan mentaati, ayuh teruskan wahai Rasulullah untuk mencapai sesuatu yang dikau kehendaki, demi Tuhan yang mengutuskan tuan hamba dengan kebenaran, seandainya tuan hamba membawa kami mengharungi lautan nescaya kami harungi, tak seorang pun akan berkecuali, kami bersenang hati dikau membawa kami untuk menemui seteru pada esok hari, kami ini jenis bersabar dan bertahan di dalam peperangan, penuh kepercayaan untuk bertarung dan berhadapan dengan musuh, semoga Allah memperlihatkan sesuatu yang menyenangkan mata melihat, ayuh bawalah kami ke hadapan penuh keberkatan dari Allah”
Di dalam riwayat yang lain menyebut, Sa’d bin Muaz berkata kepada Rasulullah: “Boleh jadi tuan hamba merasakan bahawa pihak Ansar berpendapat sokongannya kepada tuan hamba hanya di perkarangan kampung mereka sahaja, di sini hamba menegaskan bagi pihak Ansar dan menjawab bagi pihak mereka: Ayuh bergeraklah ke mana sahaja, hubungilah siapa yang tuan hamba suka, putuskanlah hubungan dengan sesiapa yang tuan hamba suka, ambillah harta kami sesuka tuan hamba, tinggalkanlah kadar mana harta harta itu kepada kami sesuka hati tuan hamba, sesuatu yang tuan ambil dari kami itu adalah paling kami senangi lebih dari apa yang tuan tinggalkan, sesuatu yang tuan perintahkan itu, maka urusan kami adalah ikutan kepada suruhan tuan itu, demi Allah sekiranya tuan membawa kami untuk sampai di Birak al-Ghimad nescaya kami turuti. Dan Demi Allah seandainya tuan hamba membawa kami mengharungi lautan nescaya kami harungi”.
Rasulullah terharu dengan kata-kata Sa’d itu dan terasa segar dan bertenaga, kemudian Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Ayuh bergeraklah dan bergembiralah dengan berita baik, kerana sesungguhnya Allah telah menjanjikan daku salah satu dari dua kelompok itu, demi Allah sekarang bagaikan daku sedang menyaksi kemusnahan kaum musyrikin “.
TENTERA ISLAM MENERUSKAN PERJALANANNYA
Setelah itu Rasulullah pun berpindah dari Zufran melalui lurah-lurah yang dikenali sebagai al-Asafir, kemudian Baginda turun ke kampung dikenali sebagai “al-Diah” menyusur ke bawah meninggalkan “al-Hanan” ke sebelah kanan yang merupakan gua seakan-akan bukit dan darinya Baginda menuju ke tempat berhampiran “Badar”.
RASULULLAH MENGGERAK OPERASI PERISIKAN
Rasulullah s.a.w telah bertindak sendiri bersama temannya yang pernah bersama-sama di dalam gua Hira’ iaitu Abu Bakar al-Siddiq, untuk bersiar-siar di sekitar khemah tentera Makkah, tiba-tiba mereka bertemu dengan seorang syeikh al-Arab, Rasulullah s.a.w pun segera bertanya kepada beliau mengenai Quraisy dan Muhammad dengan sahabat-sahabatnya. Baginda bertanya mengenai kedua tentera itu dengan tujuan merahsiakan diri Baginda, tetapi jawab syeikh al-Arab itu: “Aku tidak akan ceritakan kepada kamu berdua kecuali setelah kamu memberitahu daku siapa kamu berdua ini”? Jawab Rasulullah s.a.w: “Sekiranya saudara memberitahu akan kami beritahu”. Kata syeikh al-Arab: “Ayuh begitu caranya”, jawab Rasulullah s.a.w: “Memanglah itu caranya”.
Kata syeikh al-Arab: “Cerita yang ku dengar bahawa Muhammad dan sahabat-sahabatnya telah keluar pada hari sekian, sekian, sekiranya benar cerita itu mereka sekarang ini berada di tempat sekian, sekian iaitu tempat tentera al-Madinah sedang berkhemah manakala Quraisy pula telah keluar pada hari sekian, sekian, dan kalau benar ceritanya itu maka mereka di hari ini berada di tempat sekian, sekian iaitu tempat tentera Makkah sedang berkhemah”.
Setelah beliau selesai menceritakan beliau bertanya: “Dan siapa kamu berdua ini”? Jawab Rasulullah: “Kami ini dari “Ma”" dengan itu Rasulullah terus beredar, syeikh tadi kehairanan memikirkan apa dari “Ma” itu apakah dari “Ma” al-Iraq? (atau “Ma” yang bererti air).
MEMPEROLEHI MAKLUMAT TERPENTING MENGENAI TENTERA MAKKAH
Di petang hari yang sama Baginda mengutus lagi risikan-risikannya, semua untuk memungut lagi maklumat seteru, tugas ini dipertanggungjawabkan kepada tiga pemimpin Muhajirin, Ali bin Abi Talib, al-Zubair bin al-Awwam dan Sa’d bin Abi Waqqas bersama beberapa orang sahabatnya yang lain, mereka sampai ke telaga “Badar”, Di sana mereka terserempak dengan dua orang suruhan Quraisy mengambil air untuk tentera Makkah, mereka memberkas dua orang pengambil air dan dibawa ke hadapan Rasulullah, sedang di masa itu Rasulullah tengah bersembahyang, kalian yang ada di situ memeriksa mereka berdua dan berkata: “Kami pengambil air untuk tentera Quraisy mereka mengantar kami untuk mengangkut air untuk mereka” namun orang Islam tidak bersenang hati, kerana mereka mengharapkan mereka berdua itu orang suruhan Abu Sufian (kerana mereka masih berhasrat untuk menawan kabilah Quraisy) mereka membelasah kedua-dua orang suruhan itu dengan parahnya, hingga mereka berdua terpaksa mengaku: “Ya kami ini orang Abu Sufian, dengan itu dua orang itu ditinggalkan.
Setelah selesai bersembahyang, Rasulullah berkata kepada mereka sebagai memarahi tindakan mereka itu. Ayuh bila mereka bercakap benar kamu belasah mereka, tetapi bila mereka mendustakan kamu, kamu biarkan mereka pula, mereka berdua ini memang bercakap benar, sebenarnya mereka berdua ini adalah orang suruhan tentera Makkah.
Selepas itu Rasulullah s.a.w bertanya dua orang suruhan yang diberkas, katanya: “Ceritakan kepada ku perihal Quraisy”, jawab mereka: “Mereka berada di sebalik bukit pasir itu yang kamu nampak dekat “al-Udwah al-Qaswa”. Tanya Baginda lagi: “Berapa ramai tentera Quraisy itu”. Jawab mereka: “Memang banyak”. Tanya Baginda, “Berapa bilangannya?” Jawab mereka : “Kami tak dapat mengetahuinya”. Kata Rasulullah s.a.w: “Berapa ekor sembelihan mereka sembelih setiap hari?” Jawab mereka berdua: “Sehari sembilan dan sehari sepuluh”. Kata Rasulullah: “Jadi mereka itu di antara sembilan ratus dan seribu, tanya Baginda lagi: “Siapa di antara mereka orang-orang kenamaan?” Jawab mereka berdua: “Utbah bin Rabiah dan saudaranya Syaibah, Abu al-Bukhturi, Ibnu Hisyam, Hakim bin Hizam, Naufal bin Khuwnilid, al-Harith bin Amir, Tu’aimah bin Adi, al-Nadhr bin al-Harith, Zamaah bin al-Aswad, Abu Jahal bin Hisyam dan Umaiyah bin Khalaf,” mereka adalah di antara tokoh Quraisy yang sempat disebut oleh dua orang suruhan Quraisy. Rasulullah berdiri di hadapan kaum muslimin dan berkata: Itu dia Makkah yang telah datang kelmarin dengan anak-anak kesayangan dan buah hatinya. (to be continue ...)
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar